KARANGAN LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME


Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? (82 patah perkataan)


Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. (100 patah perkataan)


 
Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. (81 patah perkataan)


Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. (93 patah perkataan)

Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.(78 patah perkataan)