Malaysia

Kit Biasiswa

87 Senarai Biasiswa & Pinjaman Pelajaran Malaysia 2013 / 2014

Followers

Sejarah Kewujudan Blog Ini

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Blog ini adalah blog peribadi saya berkaitan intervensi . Intervensi atau pemulihan yang difokuskan kepada pelajar yang lemah atahap penguasaan Membaca dan menulis pada tahun 2013.Kebetulan, ramai peserta intervensi saya pada tahun tersebut terdiri daripada anak PERHATI. Oleh itu kedapatan entry yang terlalu ringkas. Bagaimanapun, tiada gambar progam buat masa ini saya muatnaik di sini kerana bekas pelajar-pelajar di bawah seliaan saya tidak mahu wajah mereka dimuatnaik di sini.

Blog ini diwujudkan bagi memudahkan saya membuat rujukan dan berkongsi bahan secara online. Ini adalah kerana saya terlibat dengan Program Intervensi Tingkatan 3 dan 5 (Calon PT3 dan SPM ) ketika saya masih bertugas di SMK Lepar Hilir.

Selain memuatkan bahan Bahasa Melayu, bahan berkaitan SPM Matapelajaran Sejarah turut saya muatkan di sini sebagai kemudahan untuk saya menjalankan tugas pemulihan secara lebih berfokus. Ini kerana, mulai tahun 2013, matapelajaran Sejarah merupakan matapelajaran wajib lulus SPM. Selain itu, Sejarah juga merupakan option saya di universiti dahulu.

Program yang saya ringkaskan kepada PRODTAS adalah ringkasan kepada akronim Program Pemulihan Bahasa Melayu, Pemantapan Jatidiri dan Takhsin Solat.

Kini, saya tidak lagi bertugas di SMK Lepar Hilir. Namun blog ini terus saya wujudkan sebagai khidmat sosial saya kepada masyarakat, InshaAllah. Blog ini terus diwujudkan atas sokongan Pengetua SMK Lepar Hilir 2016, Encik Shaharin b Abdullah. Begitu juga, terima kasih atas sokongan En Rahimin, Pegawai PPD Kuantan.

Semoga Allah membantu saya dan memudahkan urusan saya di tempat kerja saya yang baru. Kepada sahabat-sahabat yang mengenali saya dari dahulu iaitu ketika saya sebagai seorang 'bed-ridden', terima kasih atas doa dan sokongan kalian yang tidak pernah henti-henti. Khususnya kepada sahabat-sahabat guru di SMK Jengka Pusat 2 dan MGKK Maran, Pahang. Juga ucapa terima kasih kepada MGKK Kuantan (Puan Shireen Abdul Latif, Pengerusi MGKK Kuantan) dan MGKK Pahang (Presiden Cikgu Hasmawi dan Mantan Presiden Cikgu Rizal )serta khusunya buat warga pendidik serta masyarakat penduduk Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang. Semoga di atas nikmat kesihatan kini, dapat saya manfaatkan untuk mereka yang memerlukannya. Amin. Semoga Allah SWT memberkati usaha murni kita. Amin.


Contoh Karangan SPM Peranan Keluarga Dalam Pembentukan Sahsiah Anak-anak.

Contoh Karangan SPM Peranan Keluarga Dalam Pembentukan Sahsiah Anak-anak.


SOALAN KARANGAN UMUM  (KERTAS 1 SPM) 

SOALAN KARANGAN UMUM  (KERTAS 1 SPM)
[ 100 markah]
[ Masa dicadangkan : 1 jam 30 ]
 
        Tulis sebuah karangan yang panjangnya  lebih kurang daripada 350 patah perkataan.



Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak.  Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula dari  rumah. 
 
 
Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.


Contoh Karangan :-





            Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada pendapat saya,jawapannya sudah pasti  tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.

             Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
 
 
        Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik,  sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca.  Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora,  dicampak ke  bumi menjadi penawar.  Pernyataan di atas  jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
 
 
              Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput.  Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan.  Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
             Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,  menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh.  Tegasnya ,  pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab . 
 
            Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.  Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis.  Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .
            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan  tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka kerana mereka merupakan “role model” bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. “Rumahku, Syurgaku”

SUMBER; http://cikguramsulbmspm.blogspot.com/2013/03/program-menyalin-karangan-berfokus-diri.html

Comments (12)

saya copy yer. terima kasih

tak best sangat..takde banyak isi yang tepat dan betul..harap maklum..tak best

Terima Kasih.. Jazakallah..
Hihi..

Apa yang x best nyer?? Sekurangnye bersyukurlah dpt isi..

Bolehla~

idea yg sgt menarik..hrp dpt dgunakan oleh para pelajar yg akn menduduki spm..mcm sye..tahun hadapan..saya doakan agar pljr spm yg akn menduduki peperiksaan gempak ini berjaya..

isi pnjg ni..dpt tmbh IQ kte..

idea yg sgt menarik..hrp dpt dgunakan oleh para pelajar yg akn menduduki spm..mcm sye..tahun hadapan..saya doakan agar pljr spm yg akn menduduki peperiksaan gempak ini berjaya..

Terima kasih.. dapat lah saya menambah ilmu nak buat karangan. Hehe.. anyway, karangan ni bagus!

Best 👌

Syukran Jazilan..

alhamdulillah.,terima kasih sis Ain.silakanlah datang lagi ya

Post a Comment

Powered by Blogger.